Pengurusan Emosi Dalam Kisah Nabi Yusuf A.S. - Ahmad Najib Abdullah, Lokman Ahmad

Penerbit : Dewan Bahasa Dan Pustaka
Tahun Terbitan : 2020
ISBN : 9789834923242

Ianya merupakan satu bahan bacaan yang perlu dibaca oleh setiap orang. Manusia sememangnya tidak dapat lari daripada mengalami masalah dan salah satunya adalah masalah berkaitan emosi.

Masalah peribadi berkaitan emosi semakin membimbangkan setelah dunia melanda pandemik COVID-19 jika dibandingkan dengan tahun sebelum pandemik bermula. Masalah berkaitan emosi wujud apabila jiwa seseorang menjadi tidak tenang. Perkara seperti kena buang kerja, pertengkaran suami isteri, kebimbangan kewangan dan sebagainya menjadi penyumbang utama dalam konflik emosi.

Di dalam buku ini, terdapat banyak penceritaan tentang berkaitan dengan emosi dan masalah emosi ini juga berlaku kepada para Nabi dan Rasul. Setiap orang mengalami masalah emosi yang berbeza dan yang paling terkenal adalah kisah Nabi Yusuf AS yang diceritakan di dalam Surah Yusuf. Walaupun Nabi dan Rasul yang lain juga mengalami masalah emosi yang tersendiri tetapi surah ini
diturunkan pada waktu yang sangat genting dalam sejarah dan dakwah Rasulullah SAW.

Kisah Nabi Yusuf AS yang mengalami masalah emosi sejak dari kecil sehinggalah baginda dewasa amat menyentuh hati. Bayangkan sejak kecil lagi, Nabi Yusuf AS dibenci oleh saudara kandungnya sehingga sanggup membuang baginda di dalam perigi. Peristiwa ini telah menyebabkan ayah baginda iaitu Nabi Ya’qub AS menjadi buta akibat terlalu sedih mengenangkan nasib yang menimpa Nabi Yusuf AS. Walaupun Nabi Yusuf AS menerima penderitaan emosi yang sangat perit tetapi baginda tetap tabah dalam menghadapinya kerana baginda percaya semua yang berlaku pada diri baginda adalah ketentuan dan keizinan daripada Allah SWT.

Di dalam kitab suci Al-Quran ini mempunyai penyelesaian di dalam konflik emosi yang dialami oleh manusia. Al-Quran juga menceritakan bagaimana Nabi dan Rasul juga mengalami gangguan emosi dalam menyampaikan dakwah tetapi dalam masa yang sama, Al-Quran juga menerangkan jalan penyelesaian di dalam setiap permasalahan itu.

Buku ini juga turut mengupas ayat-ayat daripada Surah Yusuf yang berkaitan dengan pengurusan emosi. Oleh itu, saya berasa buku ini amat sesuai untuk dijadikan motivasi diri. Ianya juga boleh dijadikan panduan bagaimana untuk kita mengurus emosi dengan lebih terurus, lebih-lebih lagi situasi pada masa kini yang boleh menjadi pencetus kepada konflik emosi. Semoga buku ini menjadi manfaat kepada kita semua agar kehidupan kita menjadi harmoni dan bijak dalam menyalurkan segala tekanan dengan cara yang betul.
Share:

30kg Dalam 80 Hari - Sufian Sulaiman

30kg Dalam 80 Hari - Sufian Sulaiman
Penerbit : GrupBuku Karangkraf Sdn Bhd
Tahun Terbitan : 2015
ISBN : 9789831249963


Awak berasa gemuk? 

Pernahkah awak terfikir yang kita mampu mengubahnya? Dengan kos yang mininum, sesiapa sahaja boleh melakukannya asalkan tiada perkataan 'putus asa' dalam kamus hidup. Awak pasti berasa berbaloi tatkala melihat hasilnya nanti. 

Buku ini merupakan pengalaman sebenar seorang jurulatih kecergasan dalam membantu seorang gadis yang mahu menurunkan berat badannya. Hasil teknik, kaedah, strategi dan tip yang diberikan berat badan gadis itu turun sebanyak 37kg. Impian untuk tampil dengan bentuk badan yang lebih menarik dan sihat kini boleh direalisasikan dengan kehadiran buku ini. Bukan sekadar cakap kosong, setiap tip yang diberi dibuktikan dan hasilnya cukup luar biasa.
Share:

Doa & Tip Keluarga Bahagia - Norlela Ibrahim

Doa & Tip Keluarga Bahagia - Norlela Ibrahim
Penerbit : Karya Bestari
Tahun Terbitan : 2011
ISBN : 9789678603706 

Kebahagiaan sesebuah rumah tangga itu tidak datang bergolek. Ciptalah melalui cinta yang sejati untuk merasai bagaimana manisnya keharmonian itu. Amalkan sikap saling memberi dan menerima setiap kelebihan dan kekurangan pasangan kerana tiada satu makhluk pun yang diciptakan serba sempurna. Mohonlah kepada-NYA agar kehidupan kita sentiasa dipayungi dengan nikmat sakinah, mawaddah dan rahmah. Ceriakanlah diri agar tidak mudah melatah dengan mainan hidup di dunia yang fana ini. Andai sesekali diuji, anggaplah bahawa cabaran itu adalah untuk memantapkan lagi iman kita. Jadikanlah hati kita hati yang sentiasa bersyukur, lidah yang berzikir dan akal yang berfikir. 

Buku ini amat sesuai sebagai pedoman agar hidup kita sentiasa diiringi doa, harapan dan kasih sayang. Lihatlah... betapa indahnya perjalanan kehidupan bulan yang sentiasa bertolak ansur dengan matahari. Pabila waktu malam sudah sampai penghujungnya, bulan seolah-olah memberi laluan untuk matahari keluar dari persembunyian. Begitulah perancangan dan ketetapan ALLAH yang sangat teratur dan penuh makna tersirat. Moga kita dapat mencontohinya; tenang membina kebahagiaan di dunia dalam landasan TUHAN, di akhirat pula mendapat ganjaran yang dijanjikan. Insha-Allah.
Share: